Pages

Thursday, September 18, 2014

TUNKU ANUM BERKORBAN DEMI KEDAH



Menurut sejarah (berdasarkan artikel dari Wadiasofi Jaafar), Tunku Anum atau nama penuhnya Tunku Anum bin Tunku Abdul Rahman adalah putera tunggal hasil perkongsian hidup di antara Tunku Rahmah dan Tunku Abdul Rahman. Bondanya iaitu Tunku Rahmah adalah puteri sulung kepada Sultan Muhammad Jiwa yang ke2 iaitu Sultan Kedah yang ke- 19 iaitu di antara tahun 1710-1778. Manakala ayahandanya Tunku Abdul Rahman adalah bekas Ketua di Wilayah Chenak, Thailand.

Nama Tunku Anum mula popular apabila beliau dilantik sebagai ketua penghantar Bunga Emas kepada Kerajaan Thai oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah yang Ke-2 dan Tunku Dhiauddin yang memerintah Kayang (Perlis). Peristiwa ini berlaku pada bulan Ogos 1809. Sesuai dengan tugasnya seorang diplomat yang berurusan dengan Kerajaan Thai, Tunku Anum dikurniakan gelaran “Tunku Paduka Raja Jambangan”. Pada zaman itu,seseorang yang dilantik menjadi penghantar bunga emas amat disanjungi oleh rakyat Kedah kerana tugas tersebut amat berbahaya kerana terpaksa meredah hutan belantara, meredah gunung dan mengambil masa berhari-hari untuk sampai Ligor mahupun Bangkok.

Apabila Sultan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II menolak permohonan putera (Phya Sina Nunchit) kepada Gabenor Ligor untuk mendapatkan beras bagi tujuan Perang Thai-Burma dengan alasan padi tidak menjadi , perang pun meletus dan Thai menguasai Kedah. Pelbagai ikhtiar dilakukan oleh pembesar dan rakyat negeri Kedah untuk membebaskan Kedah tetapi semuanya gagal.

Kemudiannya, muncullah Tunku Anum yang kemudiannya dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan Negeri Kedah. Tunku Anum tahu baginda bukan sahaja menghadapi ancaman dari luaran iaitu Thai (Ligor dan Bangkok) serta Inggeris. Tetapi juga ancaman dalaman termasuklah ancaman dari sepupu sendiri serta beberapa musuh dalam selimut. Baginda seterusnya mengatur strategi baru menentang Thai, dengan tunduk dan kononnya menjalinkan persahabatan baik kepada Putera Ligor (Phya Sina Nunchit) iaitu juga seorang wakil pemerintah Thai diKedah dan menawarkan diri untuk berkhidmat kepada Gabenor Ligor.

Walaupun pada awalnya Tunku Anum dianggap lemah oleh rakyat Kedah, tetapi tindakannya adalah rancangan bijak untuk menyelamatkan Kedah daripada terus dijajah oleh Thai. Beliau besedia untuk menghantar bunga emas sebagai ufti untuk pemulaan perdamaian, akhirnya dengan kebijaksanaan akal, budi bicara dan keperibadian Tunku Anum yang menambat hati, Gabenor Ligor melalui perkenan Raja Thai memulangkan Kedah semula kepada pemerintahnya dan berjanji tidak mengganggu lagi.

Semasa memperolehi kepercayaan dari Phya Sina Nunchit, Tunku Anom juga secara senyap-senyap melatih pejuang-pejuang Kedah di Gua Kerbau, Bukit Keplu dalam kawasan Kodiang. Semasa meninggalkan Kedah untuk berkhidmat di istana Ligor, beliau meninggalkan pejuang-pejuang Kedah dan menyuruh mereka bersedia sebilang masa untuk menyerang Askar Thai di Kedah. Dengan berbekalkan surat usul dari Putera Ligor, Tunku Anum menunjukkan diri beliau di Istana Ligor sebagai seorang penjawat yang setia dan berkemahiran tinggi dalam hubungan pentadbiran dan diplomatik dan akhirnya mendapat kepercayaan dari Gabenor . Dalam masa yang sama beliau mengkaji kekuatan dan kebolehan Angkatan Tentera Ligor dan hubungan Ligor dengan Bangkok.

Semasa beliau di Ligor, sebagaimana dirancangkan. Pejuang-pejuang Kedah telah menyerang markas Thai di Alor Ganu, kawasan Anak Bukit di Alor Setar. Phya Sina Nunchit selaku pemerintah Kedah yang menghadapi kesukaran menghadapi pemberontakan Kedah telah mengirim surat kepada ayahanda beliau iaitu Gabenor Ligor memohon bantuan untuk memusnahkan pemberontakan. Bantuan diberikan kepada puteranya, Gabenor Ligor telah menawarkan sebagai wakil Ligor di Kedah dengan harapan supaya dapat mendamaikan Kedah.

Namun, Tunku Anum telah menolak tawaran tersebut kerana beliau sedar jika beliau menerimanya, Kedah kekal dibawah kawalan terus Thai. Pemberontakan Kedah berterusan, serangan gerila disana sini menyebabkan Thai kepayahan. Ligor memohon pertolongan sekali lagi kerana beban kos peperangan, nyawa askar terkorban kerana serangan dan wabak penyakit dipenenmpatan askar Thai, akhirnya Ligor mengalah dan memberikan kebebasan kepada Kedah mengikut terma dan syarat yang diberikan oleh Tunku Anum secara halus.

Tunku Anom pulang ke Kedah sebagai wira diatas keberanian dan kebijaksanaan beliau. Sultan Kedah dinaikkan keatas takhta semula. Sebagai membalas jasa, Tnku Anom dianugerahkan sebanyak 24 mukim didalam negeri yang dikenali Kubang Pasu. Beliau menjadi pemerintah Kubang Pasu dan menamakan wilayahnya sebagai Negeri Kubang Pasu Daru Qiyam dan Pulau Pisang menjadi pusat pentadbiran.

Semasa pemerintahan beliau, Pulau Pisang membangun dan berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dan penanaman padi. Malangnya, amat sedikit kajian mengenai Pulau Pisang di Jitra ini. Malah ada dninyatakan Pulau Pisang ini menjadi tempat perusahaan tekstil yang dikenali sebagai Pulau Kain. Tetapi tiada kesan yang dapat dijumpai.

Walaupun makam Tunku Anum dipelihara, tetapi Kampong Pulau Pisang tidak pula diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri sebagai mengingati bahawa Pulau Pisang dan Kubang Pasu ini dahulu adalah salah sebuah negeri yang mempunai rajanya sendiri didalam negeri Kedah. Tiada papan tanda didirikan untuk menyatakan sedemikian.

Tunku Anum telah memerintah Kubang Pasu selama 17 tahun dan mangkat pada tahun 1853 dan dimakamkan disana. Dikatakan, antara punca kemangkatan beliau adalahkerana terlalu sedih diatas kematian puteranya yg juga bakal pengganti beliau.

Diatas kemangkatan beliau, cucundanya iaitu Tunku Ishak telah dijadikan sebagai pemerintah baru Kubang Pasu. Malangnya, Tunku Ishak seorang yang tidak bertimbang rasa dan enggan mendengar kata-kata para penasihatnya. Sebagai bantahan rakyat yang memuncak, Tunku Ishak akhirnya dipaksa memulangkan seluruh wilayah Kubang Pasu kepada Sultan Kedah iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah III, Sultan Kedah ke 23.

No comments:

Post a Comment